Assalamualaikum semua... (^_^)
Terima kasih kerana sudi singgah di Teratak Mia ini...
Bacalah kerana Membaca Jambatan Ilmu...
Hari ini, Mia nak kongsi satu sajak yang menarik untuk dibaca...
Tidak kira siapa anda, kerana anda berhak menjadi siapa saja...
Namun setiap insan punya tanggungjawab...
Laksanakan tanggungjawab anda dengan sehabis baik...
Anda mampu !!!
JADILAH SIAPA SAJA
Jadilah pelaut kau tahu lautan hidup bergelora,
Jadilah petani kau kenali keringat sawah ladang,
Jadilah pengayuh beca kau rasai roda lelah seharian,
Jadilah pemandu teksi begitu perit memperolehi sesuap nasi,
Jadilah penukang atau pengukir belum pasti makmur memahat diri,
Jadilah penoreh getah perhatikan derita susunya di musim hujan,
Jadilah pemanjat kelapa kemana pelepah melambai keadilan,
Jadi pemuzik jadi penggubah jadi penyanyi,
Jadi penulis lirik akan tercantum lagu dunia seni,
Jadi pengarah jadi pelakon jadi pelawak tau harga diri,
Jadi pelukis karyamu alam tidak terhakis siang malam,
Jadi pereka bentuk segalanya melakar manis masam,
Jadi penulis bergelar sasterawan tahu merakam adab,
Jadi pencatat zaman semua seniman berfikir hebat,
Jadi pelajar kau belajar, sebagai pengajar jangan kurang ajar,
Jadi pendidik tugasan guru di tanganmu lahir pemimpin besar,
Jadi pelatih jangan tahu maki herdik oleh letih lesu nafsu marah,
Jadi pensyarah tahu kaedah sedar insaf akan ilmu yang parah,
Jadi perancang di situ berfikir selok belok gerak ekonomi rakyat,
Jadi peguam fasih lidahmu kelak kebenaran hukum terletak,
Jadi komander kau kawal pesawat para penumpang terselamat,
Jadilah siapa saja ikut keupayaan kebolehan diri,
Jadi pemimpin tanggungjawab membangun pertiwi,
Jadi engkaulah penjaga bangsa agar tidak terumbang ambing,
Jadi engkaulah pengawas warga agar tau menafsir musim,
Jadi Perdana Menteri tau berperi sedia berani mati,
Jadi permaisuri di sisi hikmah ceria raja selalu bestari,
Jadi pemaaf seumpama pendakwah terlihat amal makruf,
Jadi penggerak jauhi nahi munkar jasabakti diselangi takruf,
Jadilah kita semua pekerja tahu hidup sebelum mati
Jadikan kematian itu sanya pedoman kembara diri,
Jadi satu cangkir yang setiap kita akan menghirupnya,
Jadi batas dunia dan barzakh di hisab dosa pahala!
Dato’ Hj A.Aziz Deraman
Kuala Lumpur
1 Mei 2002
Pesanan Mia : Harap segala yang baik dapat disebarkan dan dikongsi bersama... Andai ada yang tersinggung, dapat tinggalkan komen sebagai penambahbaikan diri Mia pada masa hadapan... Sesungguhnya yang baik adalah daripada Pencipta, yang buruk adalah daripada yang dicipta...
Terima kasih... (^_^)
No comments:
Post a Comment